Ahmad Komarolaili terima Anugerah Usahawan Berprestasi Tinggi Terbaik

KUALA TERENGGANU 11 April – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Upstream Downstream Process & Services (UDPS) Sdn. Bhd., Ahmad Komarolaili Abu dinobatkan sebagai Usahawan Berprestasi Tinggi Terbaik dalam Majlis Anugerah Usahawan Terengganu (AUT) 2018 di sini malam tadi.

Kemenangan tersebut membolehkan beliau yang juga Pengarah Urusan UDPS membawa pulang geran Program Peningkatan Perusahaan Kecil dan Sederhana Bumiputera (BEEP) bernilai RM500,000.

Di samping beliau turut memperoleh pembiayaan pembangunan produk berjumlah RM5,000 dan promosi (RM3,500) bagi merangsang pertumbuhan syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas beroperasi di Kemaman itu.

Syarikat rempah-ratus di bawah jenama Bunga Ros, Hassan Majid Sdn. Bhd. pula menerima anugerah Kategori Halal dan Standard manakala Kategori Promosi dan Pemasaran Produk dimenangi oleh MGV Industries Sdn. Bhd., Abdul Salikin Ambak dari ASA Frozen Food & Marketing (Usahawan Baru), Norhaiza Nordin (Kraf Warisan) dan Rokiah Mohd. Koyakutty (Groom Big).

Hadiah kepada pemenang yang telah memperlihatkan komitmen dan visi yang jelas dalam perniagaan mereka itu disampaikan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Zubir Embong di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI),

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepengunaan negeri, Nawi Mohamad; Ketua Eksekutif SME Corp, Datuk Dr. Hafsah Hashim; CEO Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Rozali Salleh dan Pengarah SME Corp. negeri, Muhammad Ibrahim.

Terdahulu, Mohd. Zubir melancarkan laman webajarku.com bagi panduan usahawan tempatan di samping menyampaikan sijil graduasi kepada peserta Program Graduan Usahawan Terengganu (PGUT) 4.0 serta sijil penghargaan kepada agensi Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Terengganu (MSPUT).

Dalam majlis sama, empat usahawan PUGT terbaik menerima anugerah masing-masing iaitu Mohd. Sulaiman Umar, Zulhissam Mansor, Nor Ismahadi Ismail dan Mohd. Faizal Mat Jadi. –

Source : UTUSAN ONLINE